Spider Raikan Tiga Dekad Muzik Menerusi Konsert Spideraya di Bukit Jalil

Spider Raikan Tiga Dekad Muzik Menerusi Konsert Spideraya di Bukit Jalil

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kumpulan rock terkenal tanah air, Spider bakal meraikan perjalanan lebih tiga dekad dalam industri muzik menerusi konsert berskala besar, Spideraya, di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 26 September ini.

Konsert yang dijadualkan bermula jam 8.30 malam itu bakal menghimpunkan karya popular Spider daripada album sulung Ngam Ho yang diterbitkan pada 1998 hingga album Ankabut pada 2016.

Wakil penganjur B7 Resources Sdn Bhd, Khairul Afizi atau Khai berkata, Spideraya dirancang sebagai perayaan terhadap evolusi muzik kumpulan yang dianggotai Tam, Aie, Iss dan Pown itu sepanjang lebih 30 tahun bersama peminat.

“Spider ialah kugiran legenda tanah air. Katalog muzik mereka dari zaman album Ngam Ho hingga Ankabut masih relevan meskipun hampir sedekad tanpa karya baharu.

“Nama Spideraya dipilih bagi menggambarkan keseluruhan fasa karya Spider yang kekal segar dan diterima peminat daripada generasi milenial hingga Gen Z,” katanya.

Menurut Khai, kejayaan beberapa siri persembahan Spider sebelum ini turut memberikan keyakinan kepada pihaknya untuk menganjurkan konsert berkenaan dalam skala lebih besar.

Antara lagu popular yang dijangka menghidupkan suasana Spideraya ialah Aladin, Relaku Pujuk, Mungkinkah Terjadi, Kita Satu dan Kacap Terlabik.

Sementara itu, vokalis Spider, Tam berkata, tawaran penganjuran Spideraya diterima selepas misi dan visi yang dibawa B7 Resources didapati selari dengan prinsip kumpulan berkenaan.

“Spideraya bukan sekadar sebuah konsert, tetapi kami mahu ia meninggalkan kesan kepada peminat dan industri hiburan secara keseluruhannya.

“Spider akan membawakan konsep perayaan yang tidak akan dilupakan,” katanya.

Tiket ditawarkan mengikut kategori Kita Satu pada harga RM148, Aladin (RM158), Ngam Ho (RM168), Ankabut (RM208), Bintang 12 (RM238) dan Nazraku (RM268).

Tiket boleh dibeli menerusi platform Ticket2U.