KOTA KINABALU, SABAH – Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menyifatkan penganjuran Kejohanan bolasepak Piala Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin (Piala BMR) bawah 18 tahun berupaya mengenal pasti pemain-pemain muda berbakat yang boleh diserapkan dalam skuad Piala Belia.
Katanya, ia satu usaha baik yang dilakukan Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) kerana dapat menggilap bakat pemain-pemain muda di negeri ini.
“Sudah tentu penganjuran kejohanan ini sangat baik dan ia tidak dilakukan di negeri-negeri lain,” katanya selepas taklimat ringkas berhubung kejohanan itu oleh Penolong Setiausaha Agung SAFA, Azman Mastar di pejabat SAFA petang semalam.
Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA memberi taklimat ringkas kepada Kim Swee bagi membolehkannya membantu panel jurulatih pemilih untuk melakukan tugasan mereka apabila grand final kejohanan diadakan selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Perlawanan peringkat akhir itu membabitkan lapan pasukan zon yang akan dibahagikan kepada dua kumpulan nanti.
Kim Swee berkata, pihaknya akan memberi kerjasama kepada panel jurulatih pemilih yang diketuai Pengarah Teknikal SAFA, Omar Maya Amat untuk membolehkan SAFA dapat memanfaatkan hasil kejohanan itu.
Katanya, melalui kejohanan remaja seperti ini akan memudahkan usaha untuk pembentukan skuad Piala Belia musim depan.
Azman juga memberitahu, usaha untuk menganjurkan kejohanan yang pertama kali dilakukan SAFA itu adalah sebagai memenuhi misi dan visi Presiden SAFA, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin untuk membangunkan sukan bolasepak di Sabah.
Katanya, selepas kejohanan Piala BMR itu, SAFA juga akan menganjurkan kejohanan lain yang dalam perancangan termasuk Kejohanan Piala Ketua Menteri yang akan dikenali sebagai “Piala Sabah” supaya ia lebih menyeluruh.
“Biasanya sebelum ini ia dinamakan Piala Ketua Menteri namun kita akan buat perubahan sedikitdengan menamakan Piala Sabah namun ia akan tetap merebut piala yang disumbangkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor,” ujarnya.
Hadir sama dalam taklimat ringkas itu ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA, Lokman Sunggim.