Belanjawan 2024: Peruntukan Pembangunan Sarawak, Sabah Ditingkatkan

Belanjawan 2024: Peruntukan Pembangunan Sarawak, Sabah Ditingkatkan

0
SHARE
Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim...

KUALA LUMPUR – Peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk pembangunan Sarawak dan Sabah ditingkatkan tahun depan.

Memetik sumber Berita Harian, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia selaras usaha Kerajaan Perpaduan untuk merealisasikan kesepakatan yang dicapai pemimpin terdahulu dalam Perjanjian Malaysia 1963 telah direalisasikan.

“Tahun hadapan, peruntukan pembangunan untuk Sarawak ditingkatkan kepada RM5.8 bilion berbanding RM5.6 bilion sebelum ini manakala untuk pembangunan Sabah pula meningkat kepada RM6.6 bilion berbanding RM6.5 bilion.

“Bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan, Kerajaan Persekutuan juga menurunkan kuasa pelaksanaan projek pembangunan di bawah nilai RM50 juta kepada agensi teknikal Sabah dan Sarawak,” katanya dalam Belanjawan 2024 hari ini.

Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan juga meningkatkan kadar Pemberian Khas interim untuk Sarawak dan Sabah kepada RM300 juta berbanding RM16 juta bagi Sarawak dan RM125.6 juta bagi Sabah sebelum ini.

“Kali terakhir kajian semula Pemberian Khas kepada Sarawak dan Sabah dibuat masing-masing pada 1969 dan 2022,” katanya.

Selain itu, Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023 telah diluluskan di Dewan Rakyat kelmarin.

“Ia bagi memperuntukkan wakil Kerajaan Negeri Sabah yang dinamakan Ketua Menteri Sabah dan seorang wakil Kerajaan Negeri Sarawak yang dinamakan Premier Sarawak selaras dengan hasil Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1963,” katanya.

Menurutnya lagi, Kerajaan Persekutuan bersama-sama Kerajaan Sabah telah mencapai kesepakatan berhubung penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik yang bakal berkuat kuasa pada 3 Januari 2024.

“Kendatipun kuasa kawal selia diserahkan kepada Kerajaan Sabah, Kerajaan Persekutuan tetap akan terus membantu Kerajaan Sabah dalam mengukuhkan industri bekalan elektrik di Sabah melalui pemberian subsidi kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sehinggalah Pelan Transformasi SESB berjaya dilaksanakan dalam tempoh tujuh tahun iaitu sehingga 2030.

“Bagi menjamin kestabilan dan mengurangkan gangguan bekalan elektrik di Sabah khususnya di kawasan timur Sabah, Kerajaan Persekutuan akan memberi sokongan kepada pelaksanaan penjanaan tenaga secara solar hibrid serta pembinaan jaringan talian penghantar elektrik di selatan Sabah,” katanya.