KAJANG – Seorang lelaki cedera di tangan kirinya setelah ditetak oleh seorang pekerja bengkel dengan menggunakan sebilah parang selepas berlaku satu pertengkaran di antara mereka di sebuah bengkel yang terletak di Simpang Balak di sini pada 15 November lalu.
Memetik laporan Kosmo, mangsa yang berusia 35 tahun itu telah meletakkan kereta jenis Proton Wira miliknya di stor bengkel berkenaan hampir lima bulan kerana mengalami masalah kewangan untuk membaikinya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd. Sabri Abdullah berkata, dalam kejadian sekitar pukul 10 pagi itu, mangsa yang bekerja sebagai seorang penyelenggara telah bertanyakan kepada pekerja bengkel tersebut tentang kehilangan beberapa komponen keretanya yang diletakkan di sana.
“Suspek, seorang lelaki berusia 30 tahun mendakwa tidak mengetahui mengenai kehilangan tersebut dan secara tiba-tiba memarahi serta menolak mangsa ke arah belakang bengkel.
“Tanpa mangsa sedari, suspek terus mencapai sebilah parang dan melibas ke arah mangsa sehingga mencederakan tangan kirinya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Difahamkan, setelah mencederakan mangsa, suspek terus menghilangkan diri sebelum diberkas pihak polis di bengkel berkenaan petang semalam.
“Siasatan awal mendapati suspek pernah dipenjara sebelum ini atas kesalahan dadah namun hasil ujian air kencing yang dibuat ke atasnya adalah negatif,” katanya.
Menurut Mohd. Sabri, siasatan masih diteruskan dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Kajang hari ini untuk memohon tahanan reman.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” tambahnya.