SANDAKAN, SABAH – Pemandu sebuah lori 1.5 tan cedera manakala lapan lagi kenderaan mengalami kerosakan apabila sebuah lori 10 tan hilang kawalan dan melanggar kenderaan-kenderaan terbabit di Jalan Utama Batu 30, di sini.
Sepasukan tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan dikerahkan ke lokasi berjarak kira-kira 47 kilometer dalam kejadian kira-kira 4:30 petang tadi.
Kemalangan membabitkan dua buah lori (1.5 Tan dan 3 Tan), bas mini 29 penumpang, Perodua Myvi, Proton Saga FLX , Toyota Revo, Toyota Hilux dan sebuah Ford Ranger.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah melaporkan bahawa mangsa lelaki telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan jentera.
“Beliau dihantar ke hospital menggunakan ambulan untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala mangsa lain tidak mengalami kecederaan.
“Pasukan bomba telah membuat pemeriksaan untuk memastikan tiada keberbahayaan lain di lokasi dan operasi ditamatkan pada jam 5.40 petang,” kata seorang jurucakap bagi agensi berkenaan.





