TASHKENT, UZBEKISTAN – Seorang ibu bertindak di luar jangkauan apabila beliau mencampak anak perempuanya yang berusia tiga tahun ke dalam kandang beruang di sebuah zoo di Uzbekistan.
Menurut laporag akhbar The Sun UK, pada ketika itu para pengunjung menjadi cemas apabila haiwan tersebut mendekati dan menghidu anak kecil itu.
Bagaimanapun, kanak-kanak perempuan tersebut ‘berpura-pura meninggal dunia’ sehinggalah penjaga zoo berjaya mengalihkan perhatian beruang tersebut dan menyelamatkan kanak-kanak itu.
Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital dan dirawat hospital setelah mengalami kecederaan kepala dan luka kerana terjatuh akibat dicampak.
Polis membuka siasatan berkenaan dan mendakwa ibu kepada kanak-kanak itu kerana jenayah cuba membunuh yang membawa hukuman maksimum 15 tahun penjara…
Saksi-saksi berkata, pelawat dan kakitangan di zoo tidak berjaya menghalang wanita itu mencampak anaknya dari atas penghadang keselamatan dalam kejadian yang berlaku di ibu negara Uzbekistan, Tashkent.
Seorang jurucakap zoo ketika mengulas mengenai kejadian berkata, motif wanita tersebut mencampak anaknya ke dalam kandang beruang coklat itu tidak jelas.
“Kami takut untuk memikirkan bagaimana jika beruang itu bertindak balas dan membaham anak kecil itu.
“Zuzu yang merupakan seekor beruang coklat jantan jenis Kaukasia sedang memerhati wanita itu ketika dia melempar anak kecilnya melepasi pagar besi lalu terjatuh ke dalam parit. Zuzu bergerak ke arah kanak-kanak itu lalu menghidunya dan berjalan kembali,’’ jelas jurucakap tersebut.
Menurut seorang jurucakap lain, mangsa disahkan mengalami gegaran otak disebabkan terjatuh dari platform berketinggian lima meter serta mempunyai luka terbuka di kepalanya. Bagaimanapun, mangsa berada dalam keadaan stabil dan di bawah pemerhatian berterusan.





