JDT Terima Tamparan Hebat Selepas Tewas Kepada Pohang Steelers FC Untuk Mara...

JDT Terima Tamparan Hebat Selepas Tewas Kepada Pohang Steelers FC Untuk Mara Slot Kalah Mati Liga Juara-Juara AFC

0
SHARE
Sumber Foto: Facebook rasmi JOHOR Southern Tigers...

KUALA LUMPUR – Peluang Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mara ke pusingan kalah mati kempen Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menerima tamparan hebat selepas tewas 1-4 kepada Pohang Steelers FC, di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok, malam tadi.

Disiplin bertahan kurang kemas JDT terutama dalam kawasan kotak penalti membawa padah apabila tiga daripada empat gol Pohang Steelers FC hadir menerusi sepakan penalti susulan kekasaran dilakukan barisan pemain skuad Harimau Selatan.

Kekalahan kedua dicatat JDT pada aksi ketiga Kumpulan G itu menyaksikan kedudukan JDT di tempat kedua dengan mengumpul tiga mata dipintas Pohang Steelers yang mengutip enam mata setakat ini.

Pada aksi tersebut, skuad bimbingan Benjamin Mora terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-17 menerusi tonggak import Leandro Velazquez selepas rembatan kaki kiri dari luar kotak penalti penyerang kelahiran Argentina itu terkena kaki pertahanan lawan sebelum menerjah jaring.

Sumber Foto: Facebook rasmi JOHOR Southern Tigers…

Kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila 10 minit kemudian Boris Tashti menyamakan kedudukan buat Pohang Steelers menerusi sepakan penalti selepas Leandro dipersalahkan mengasari penyerang lawan Goh Young-Jun.

Skuad kendalian Kim Gi Dong kemudian mendahului permainan 2-1 pada minit ke-35 dengan giliran kapten Kang Sang-Woo mencetak nama sebagai penjaring apabila menyempurnakan sepakan penalti yang diambil semula selepas Mohd Farizal tidak berada di garisan gol pada sepakan pertama.

Bersambung babak kedua, JDT tampil lebih garang dengan mencipta beberapa peluang jaringan, namun percubaan penyerang import dari Brazil Bergson da Silva pada minit ke-49 tepat ke arah penjaga gol sementara tandukan deras pemain tengah Natxo Insa pada minit ke-56 sekadar melewati palang.

Pohang Steelers hampir meraih gol ketiga pada minit ke-66 apabila tandukan pemain pertahanan Matthew Davies terkena palang ketika dalam usaha mengeluarkan bola sepakan percuma Sin Jin-Ho.

Sumber Foto: Facebook rasmi JOHOR Southern Tigers…

Memasuki 10 minit terakhir perlawanan, keterujaan JDT memburu gol penyamaan menyaksikan disiplin bertahan JDT semakin longgar sehingga dibolosi dua gol masing-masing menerusi pemain gantian Kwon Gi-Pyo pada minit ke-82 sebelum Lim Sang-Hyub meledak gol keempat pasukan melalui sepakan penalti pada masa tambahan.

Saingan Kumpulan G menyaksikan kelab dari Jepun Nagoya Grampus kekal sebagai peneraju apabila mengumpul sembilan mata selepas menewaskan wakil Thailand Ratchaburi FC 4-0 dalam satu lagi aksi kumpulan yang berlangsung semalam.

– BERNAMA