Kerajaan Digesa Wujudkan Bangunan Pentadbiran Di Sempadan Pagalungan-Labang

Kerajaan Digesa Wujudkan Bangunan Pentadbiran Di Sempadan Pagalungan-Labang

0
SHARE
Labang
Bangunan pos kawalan imigresen Pagalungan Sabah - ( Sumber Foto: Ihsan Gagasan Rakyat Pensiangan )

NABAWAN, SABAH – Kerajaan digesa mewujudkan bangunan pentadbiran di kawasan sempadan antara Malaysia (Pagalungan) dan Indonesia (Labang) bagi memudahkan urusan pentadbiran berkaitan kepentingan kedua-dua negara.

Ketika membuat gesaan itu, Ketua Gagasan Rakyat Sabah  Jordan Jude Ellron berkata ianya penting memandangkan agensi sempadan Indonesia (Labang) dijangka beroperasi sepenuhnya tahun depan.

“Saya berkesempatan melawat kawasan sempadan Labang yang mengambil masa kira-kira lima jam menaiki bot baru-baru ini.

“Selepas melawat kawasan sempadan Indonesia, saya berpendapat kerajaan Malaysia juga perlu mempercepatkan pembinaan bangunan pentadbiran itu, dan apatah lagi apabila pusat pentadbiran ibu negara Indonesia ke Kalimantan Timur akan berlaku tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Jordan berkata, perbincangan lanjut antara pemimpin kedua-dua negara juga perlu diadakan untuk kepentingan kedua-dua wilayah kerana majoriti penduduk di sepanjang sempadan kedua-dua negara mempunyai kaitan dari segi hubungan kekeluargaan.

“Jika ada perkahwinan, kedua-dua pihak akan saling mengunjungi. Inilah budaya yang diwarisi turun-temurun.

“Sebagai contoh, jika ada majlis perkahwinan, mereka sekeluarga akan membawa makanan seperti beras, gula dan sebagainya untuk membantu.

“Saya risau tanpa perbincangkan antara kedua-dua negara, cukai akan dikenakan kepada tetamu pula,” katanya.

Jordan turut menyarankan agar ketua kaum kedua-dua negara khususnya di kawasan sempadan akan terlibat dalam sesi perbincangan bagi memastikan perkara itu dapat diselesaikan secara aman dan damai.

“Ini kerana kedua-dua sempadan ini adalah daripada etnik yang sama dan mengamalkan adat yang sama iaitu bangsa Dayak,” katanya.