KUCHING, SARAWAK – Keunikan padi dan beras yang terdapat di wilayah borneo tidak boleh diabaikan, kata Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.
Menurut beliau, disebabkan itu usaha untuk meneroka dan memanfaatkan varieti padi yang unik dan eksotik di Sarawak dan Sabah ketika ini tepat pada masanya sekali gus dapat memajukan industri padi di negara ini.
“Memandangkan kawasan geografi Sabah dan Sarawak luas, tidak dijangka bahawa wilayah ini mempunyai kekayaan biodiversiti yang mempunyai pelbagai jenis tumbuhan dan haiwan…
“Antaranya jenis padi yang istimewa terdapat di Borneo adalah seperti Adan, Padi Bario, Padi Keladi, dan Padi Bajong di mana setiap satunya adalah unik dan merupakan padi asli Borneo,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaannya semasa Pelancaran Laporan KRI: Industri Padi dan Beras Sabah dan Sarawak: Status dan Potensi yang diadakan di Kuala Lumpur secara hibrid, semalam.
Sementara itu katanya, KIR telah menjalankan penyelidikan dan menghasilkan laporan mengenai industri beras dan padi di Sarawak.
Sehubungan itu, beliau berharap ia akan menjadi pemangkin kepada kemajuan bermakna dalam industri padi dan beras negara termasuk peningkatan pengeluaran padi dan peningkatan prospek ekonomi bagi petani luar bandar.
“Kelmarin, kami membentangkan cadangan dasar yang menekankan kepentingan dan keistimewaan industri padi dan beras di Sarawak dan Sabah.
“Cadangan itu juga akan menggariskan strategi untuk pertumbuhan dan pembangunan industri selaras strategi kedua Dasar Agro-Makanan Negara 2.0 sekali gus meningkatkan pendapatan petani melalui amalan pertanian yang mampan dan baik juga harus menjadi tumpuan.
“Melihat kepada jurang luar bandar-bandar, penduduk luar bandar di Sarawak dan Sabah masih jauh lebih rendah berbanding dengan pendapatan median isi rumah negara.
“Pada 2019, pendapatan kasar median bagi isi rumah luar bandar di Sabah ialah RM3,172 manakala bagi Sarawak adalah kira-kira RM3,195 dan perbezaan ketara termasuk purata pendapatan median nasional bagi isi rumah Malaysia ialah sebanyak RM5,873.
“Pembangunan segmen beras istimewa kemudiannya berpotensi untuk mengurangkan jurang pendapatan ini dengan menyediakan cara tambahan, terutamanya bagi petani luar bandar untuk meningkatkan pendapatan mereka dan seterusnya status keselamatan makanan mereka,” katanya.