KM HAJIJI DIBERI TAKLIMAT BERKENAAN PROJEK PEMULIHARAAN HUTAN HUJAN KUAMUT

KM HAJIJI DIBERI TAKLIMAT BERKENAAN PROJEK PEMULIHARAAN HUTAN HUJAN KUAMUT

0
SHARE
Hajiji
Hajiji menyampaikan cenderamata Stephen ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Rakan kongsi Projek Pemuliharaan Hutan Hujan Kuamut (KRCP), perkongsian awam-swasta antara Jabatan Perhutanan Sabah, Yayasan Sabah, dan Permian Malaysia, anak syarikat Permian Global bertemu dengan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Dalam mesyuarat itu, Pengerusi Permian Global Stephen Rumsey memberi taklimat kepada Hajiji mengenai projek tersebut, yang telah mengesahkan Laporan Pemantauan pertamanya bulan lepas, menunjukkan bahawa ia memenuhi piawaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk kemajuan Iklim, Komuniti dan Biodiversitinya.

Pencapaian ini membolehkan inisiatif pemuliharaan, iaitu melindungi dan memulihkan 83,381 hektar hutan hujan tropika di daerah Tongod dan Kinabatangan sekaligus menjana ‘tranche’ pertama Unit Karbon Disahkan (VCU).

Hajiji berkata KRCP adalah bukti bagaimana sektor awam dan swasta boleh bekerjasama dengan cara yang berkesan dan telus yang melibatkan dan memperkasakan penyertaan masyarakat setempat dari awal lagi.

“Sabah terkenal dengan hutan biodiversitinya dan adalah penting kita melakukan apa sahaja yang diperlukan untuk memeliharanya.

“Saya mahu kita membina pencapaian KRCP, melindungi sebanyak mungkin hutan kita, dan memimpin dunia dalam usaha pemuliharaan berimpak tinggi, teguh dari segi saintifik yang bukan sahaja memberi manfaat kepada alam semula jadi tetapi juga negeri dan rakyat,” katanya.

Permian Global telah menyediakan pelaburan untuk projek itu dan turut melibatkan pihak berkuasa negeri dan rakan kongsi saintifik dan komuniti, Perkongsian Penyelidikan Hutan Hujan Asia Tenggara (SEARRP) dan organisasi berfokuskan komuniti, PACOS Amanah.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Permian Malaysia, Ivy Wong Abdillah, Pengarah Yayasan Sabah Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, Ketua Konservator Perhutanan Negeri, Datuk Frederick Kugan dan Pengurus Besar Rakyat Berjaya Sdn Bhd Dr Esther Li.