Lebih 30,000 Pemohon Terima Bantuan Tunai Budi Madani Isnin Ini

Lebih 30,000 Pemohon Terima Bantuan Tunai Budi Madani Isnin Ini

0
SHARE
Budi
Poster Program Budi Madani ( Sumber Foto: Gambar carian Google )

KUALA LUMPUR – Lebih 30,000 pemohon individu, petani dan pekebun kecil komoditi sudah diluluskan untuk menerima bantuan subsidi tunai di bawah inisiatif Budi Madani, setakat hari ini.

Memetik sumber Bernama, Kementerian Kewangan (MOF) pada kenyataan memaklumkan, penerima akan disalurkan bantuan tunai pertama RM200 pada 10 Jun ini melalui akaun bank penerima, manakala penerima tanpa akaun bank boleh menuntut Budi Madani secara tunai dengan membawa MyKad di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh Semenanjung Malaysia.

“Pemohon yang berkelayakan masih boleh mendaftar untuk menerima Budi Madani. Permohonan yang dibuat dalam bulan Jun 2024 layak menerima bayaran untuk bulan terbabit dan bulan seterusnya.

“Permohonan yang dibuat selepas Jun 2024 hanya layak menerima bayaran yang bermula pada Julai 2024 dan tidak akan mendapat bayaran untuk Jun 2024,” menurut kenyataan.

Budi Madani adalah usaha kerajaan untuk memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan yang layak meliputi bantuan individu (Budi Individu), petani serta pekebun kecil (Budi Agri-Komoditi) serta syarikat dan kenderaan pengangkutan (MySubsidi Diesel).

Pada masa sama, MOF memaklumkan, berdasarkan data permohonan setakat ini, majoriti pemohon yang tidak diluluskan disebabkan tidak memenuhi kriteria kelayakan ditetapkan, antaranya pemohon petani dan pekebun kecil yang tidak berdaftar di kementerian berkaitan.

Justeru, MOF mengingatkan mana-mana pemohon individu yang tidak diluluskan untuk membuat semakan permohonan serta mengemukakan rayuan di laman sesawang Budi Madani iaitu https://budimadani.gov.my.

Bagi pemohon petani dan pekebun kecil yang masih belum berdaftar di agensi di bawah kementerian berkaitan, mereka dinasihati untuk berbuat demikian terlebih dahulu, sebelum mengemukakan permohonan Budi Madani.

Maklumat lanjut berkaitan syarat kelayakan Budi Madani boleh didapati di https://budimadani.gov.my atau menghubungi talian bantuan Budi Madani di 1-800-88-2747/03-88824565/03-88824566 atau emel di serta mengunjungi pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di seluruh Semenanjung Malaysia.

Dianggarkan, seramai 300,000 pemilik kenderaan diesel persendirian individu di Semenanjung Malaysia layak untuk menerima Budi Individu manakala 68,000 petani, 8,000 penternak dan 34,000 pengusaha akuakultur dengan skala kecil berkelayakan menerima manfaat Budi Agro Komoditi.