KUALA TERENGGANU: Polis menahan seorang lelaki, 26 tahun asal Ranau ekoran tular rakaman video lelaki tersebut menunggang motosikal sambil sebelah tangannya mengacu sepucuk pistol mainan baru-baru ini.
Suspek yang juga pembantu kedai makan itu ditahan ketika serbuan dilakukan di Jalan Sultan Mahmud, Kampung Ladang Sehat dekat sini sekitar jam 1.30 tengah hari pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya bertindak hasil maklumat orang ramai yang dikongsikan menerusi media sosial.
“Sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu bertindak mengesan suspek sebelum berjaya menahannya di lokasi berkenaan.
“Susulan penahanan suspek, pihak polis telah merampas sepucuk pistol disyaki tiruan warna hitam bercetak tulisan ‘De In Israel’.
“Selain itu, turut dirampas sehelai seluar jeans warna biru, sehelai jaket warna hitam, sebuah motosikal jenis Honda C70 serta satu anak kunci. Polis turut merampas topi keledar serta visor warna hitam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Azli berkata, ujian saringan urin ke atas suspek mendapati suspek positif dadah jenis syabu.
Katanya lagi, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata api 1960.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku sebagai individu yang dirakam di dalam video tular tersebut.
“Suspek juga mengaku pistol tersebut diambil dari dalam tong sampah berhampiran bulatan Ladang di sini,” jelasnya.