KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyarankan pemain industri di negara ini menawarkan gaji permulaan sekurang-kurangnya RM3,000 kepada graduan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Memetik laporan Bernama, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET negara berkata bahawa gaji minimum itu munasabah memandangkan graduan TVET adalah pekerja mahir yang telah menjalani kursus kemahiran.
“Pekerja mahir akan mempertingkat produktiviti… dan produktiviti ini dalam jangka panjang akan mengurangkan kos untuk menghasilkan produk akhir atau perkhidmatan akhir dan ini adalah munasabah kerana mereka pekerja terlatih serta sesuai dengan kehendak pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis memeterai Memorandum Kerjasama Transformasi Program TVET antara kerajaan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta di Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur di sini semalam.