KUALA LUMPUR – Polis trafik hilang sabar apabila segelintir pemandu pengangkutan awam khususnya teksi kerap kali meletakkan kenderaan mereka sesuka hati di bahu jalan sehingga menyebabkan kesesakan jalan raya.
Memetik kenyataan akhbar Harian Metro, lebih mengejutkan ada antara pemandu teksi terbabit tidak berpakaian lengkap dan hanya memakai selipar, sekali gus memberi imej buruk kepada sistem pengangkutan awam.
Dalam operasi bersepadu dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur bersama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), sebanyak 122 kenderaan termasuk 77 teksi disaman atas pelbagai kesalahan meletak kenderaan manakala sebuah teksi lagi disita kerana pemandunya tidak memiliki kad perakuan pemandu.
Operasi dijalankan di kawasan Bukit Bintang, Jalan Tun Razak berdekatan pejabat Kedutaan Indonesia, Persiaran KLCC dan Jalan Ampang itu bermula jam 3 hingga 5 petang.
Ketua Operasinya, Asisten Superintendan Mohd Hasbullah Saidin berkata, operasi dilaksanakan berikutan rungutan orang awam berhubung kesesakan jalan di kawasan berkenaan yang dikatakan berpunca sikap pemandu yang meletak kenderaan mereka sesuka hati.
“Antara kesalahan yang dilakukan termasuk berhenti terlalu lama sehingga menimbulkan halangan dan kesesakan lalu lintas serta ada pemandu meletakkan kenderaan di garisan kuning.
“Orang ramai perlu faham bahawa jalan-jalan ini sesak dan sekiranya pemandu tetap mahu meletakkan kenderaan di bahu jalan, ia hanya akan memburukkan keadaan sehingga menjadi sesak teruk,” katanya kepada Harian Metro selepas operasi itu, semalam.
Menurutnya, tindakan berterusan akan dijalankan bagi memastikan kelancaran trafik dan mendidik pemandu supaya tidak mementingkan diri ketika di jalan raya.