KUALA TERENGGANU – PAS menzahirkan rasa kecewa dengan keputusan Barisan Nasional (BN) yang mengumumkan bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November depan.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang dipetik BH Online berkata, keputusan BN tidak senada dengan kepimpinan yang mengajak bersatu namun akhirnya bersaing sesama sendiri.
“Sebenarnya perbincangan ini ambil masa yang panjang bahkan saya boleh sebut inisiatif yang dibuat semua pihak sangat positif di peringkat awal…
“Tetapi pada hujung tiba-tiba diumum UMNO (BN) nak bertanding semua (dan) bagi kami usaha itu (menimbulkan) sedikit rasa kecewa (kerana) usaha penyatuan itu gagal pada hujungnya.
“Bagi kami, medan Melaka (PRN) ini bukan satu medan (dan) kita harap masing-masing dapat bertanding dalam konteks menjaga SOP (prosedur operasi standard) (kerana) COVID-19 masih ada dan suasana masih perlu dijaga dan berharap ini sebagai suatu mungkin hala tuju politik yang besar pada masa hadapan,” katanya pada sidang media selepas Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67 di sini, semalam.
Tuan Ibrahim berkata, Perikatan Nasional (PN) cuba berunding bagi mengelak pertembungan dengan BN, namun keputusan untuk bertanding di semua kerusi membuatkan gabungan PN tidak mempunyai pilihan.
“Sebab UMNO-BN (umum) akan bertanding semua kerusi jadi pada masa itu tidak ada kompromi untuk melihat mana-mana kerusi untuk kita agihkan kalau sekiranya dapat kita runding, ada kerusi yang UMNO tak tanding, maka mungkin tidak berlaku pertembungan…
“Tetapi (apabila) UMNO (BN) isytihar nak bertanding 28 kerusi maka PN tidak ada pilihan untuk kita hadapi bersama,” katanya.
Ketika ditanya sama ada rundingan akan dilakukan, Tuan Ibrahim menyifatkan sudah terlewat perbincangan ke arah itu memandangkan BN sudah membuat keputusan.
“Daripada segi undang-undang selagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum umum, ia masih lagi di peringkat cadangan pencalonan tetapi apabila SPR umum baru tak boleh tarik diri…
“Tapi (apabila) parti-parti sudah umum, saya fikir masing-masing sudah mula bekerja dan semua calon sudah hadir dan mereka telah diberitahu dan watikah pun diberi (bermakna) kita bersedia pada PRN.
“Sekarang ini, kita dapat tahu ada beberapa parti daripada BN, Pakatan Harapan (PH) dan PN, kemungkinan ada parti-parti lain yang akan masuk bertanding (kerana) saya dapat maklumat ada parti-parti lain selain Bebas yang akan masuk bertanding, mungkin bukan tiga penjuru, mungkin empat atau lima penjuru,” katanya.