KOTA KINABALU: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan bahawa aspirasi rakyat Sabah mesti dilaksanakan segera melalui pembentukan sebuah kerajaan yang stabil, inklusif dan berintegriti, susulan pengumuman Kabinet Kerajaan Sabah yang baharu.
Menurut beliau, kabinet yang dibentuk itu adalah hasil komitmen bersama wakil-wakil parti yang bersetuju untuk membina kerangka pentadbiran serta asas hala tuju negeri bagi penggal ini.
Armizan berkata, meskipun lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas sebelum ini merupakan sebahagian daripada kepimpinan GRS sebelum hari penamaan calon, kedudukan mereka sebagai ADUN Bebas kini memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan kerajaan menerusi semak dan imbang.
Beliau turut menegaskan bahawa agenda mendahulukan hak dan kepentingan Sabah akan kekal menjadi teras utama pentadbiran negeri, selaras dengan aku janji pilihan raya yang disepakati oleh semua parti dan calon yang terlibat.
Katanya, Kabinet Negeri juga bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada rakyat berhubung kerangka dasar serta agenda utama kerajaan sebaik Mesyuarat Jemaah Menteri pertama diadakan.
Armizan menambah bahawa walaupun tiada satu gabungan parti memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, mandat rakyat jelas menuntut kewujudan sebuah pentadbiran yang mampu membawa perubahan lebih bermakna kepada Sabah.
“Dari mana pun asal ADUN-ADUN yang dipilih dan kini menjadi sebahagian komponen kerajaan, keutamaan mereka adalah melaksanakan aspirasi Sabahan tanpa berlengah,” katanya sambil mengiktiraf peranan penting ADUN pembangkang dalam memastikan fungsi semak dan imbang berjalan dengan berkesan.
Beliau berharap segala usaha dan ikhtiar kerajaan baharu akan merintis masa depan yang lebih baik untuk Sabah dan seluruh rakyatnya.






