KOTA KINABALU, SABAH – Persatuan Bekas-Bekas Pemain Sabah (PBPS) dalam satu kenyataan semalam menyatakan sokongan penuh terhadap pelantikan Pengarah Sabah FC yang baharu, Datuk Dr Jelani Hamdan.
Presidennya, Datuk James Wong berkata, PBPS mengalu-alukan pelantikan itu dan sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada kepimpinan kelab tersebut.
Katanya, secara peribadi, beliau menyokong sepenuhnya pelantikan beliau (Jelani) itu dan yakin beliau mampu melaksanakan tanggungjawab yang diamanah dengan baik.
“Pada saya, beliau seorang yang memiliki kesungguhan dan komited terhadap peranan yang diberikan kepadanya selain sentiasa mempunyai iltizam untuk memburu kejayaan,” katanya.
Pelantikan Jelani pada 10 Jun baru-baru ini diumumkan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin bagi menggantikan tempat Benedict Asmat.
Bekas pemain penyerang negara itu percaya Jelani yang juga Naib Presiden SAFA mempunyai sikap kepimpinan yang berupaya menggerak Sabah FC dengan sokongan mereka yang mempunyai pengalaman dalam bolasepak.
“Walapun beliau (Jelani) mengakui kurang pengalaman dalam sukan ini, namun sikap bersungguh-sungguh dan ambil tahu menjadi faktor yang dapat memastikan pentadbiran kelab diurus dengan lebih efektif,” tegasnya.
Menurut James, pengalamannya bersama Jelani yang menjadi Pengerusi Jawatankuasa Bolasepak Wanita SAFA dalam tempoh empat bulan lalu menarik perhatiannya mengenai komitmen dan kesungguhan Jelani melaksanakan tugas yang diberi.
“Bagi pihak Persatuan Bekas-Bekas Pemain Sabah, saya mengucapkan syabas dan tahniah di atas pelantikannya dalam Sabah FC,” tambahnya lagi.
Pada masa yang sama, beliau berkata tentunya pihak persatuan menghargai peranan baharu yang diamanahkan kepada beliau malah turut berasa senang hati.