Pencarum KWSP Boleh Mula Buat Pinjaman Bank 7 April Ini

Pencarum KWSP Boleh Mula Buat Pinjaman Bank 7 April Ini

0
SHARE
Gambar hiasan ( Sumber Foto: Gambar Google )

KUALA LUMPUR: Pencarum KWSP berusia 40 hingga 50 tahun, perlu mempunyai tabungan berjumlah minimum RM3,000 dalam Akuan 2 masing-masing layak membuat pinjaman bank mulai 7 April ini.

Memetik sumber Berita Harian, dua bank tempatan menyediakan kemudahan pinjaman itu iaitu Bank Simpanan Nasional (BSN) dan MBSB Bank dengan kadar faedah (Konvensional) atau kadar keuntungan (Islamik) di antara empat hingga lima peratus, lebih rendah berbanding kadar pasaran semasa iaitu lapan peratus hingga 15.

KWSP dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini memperincikan mengenai mekanisme, terma dan syarat Fasiliti Sokongan Akuan 2 (FSA2) yang kini boleh digunakan sebagai cagaran kepada pinjaman bank yang dibuat oleh pencarum.

“FSA2 adalah kemudahan yang bertujuan membantu ahli KWSP mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan. Simpanan dalam Akaun 2 hanya boleh digunakan untuk membayar pembiayaan peribadi ini menerusi permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun, berdasarkan pengeluaran sedia ada yang dibenarkan di bawah Akta KWSP 1991 (Akta).

“Bagaimanapun, pengeluaran ini adalah bersyarat, di mana pembayaran akan hanya dibuat kepada institusi perbankan apabila ahli telah mencapai umur 50 hingga 55 tahun, seperti yang termaktub dalam Akta.

“Pihak bank akan mentadbir sepenuhnya proses permohonan untuk pembiayaan peribadi melalui kemudahan ini, tertakluk kepada penilaian pembiayaan dan rangka kerja kredit mereka. Permohonan pembiayaan peribadi ini boleh dibuat secara dalam talian melalui institusi perbankan yang mengambil bahagian,” katanya.

KWSP berkata, sebelum membuat permohonan mulai 7 April ini, ahli perlu membuat semakan awal kelayakan dalam Akaun 2 KWSP.

Mengulas lanjut, permohonan hendaklah dibuat mengikut terma dan syarat yang dipersetujui dengan institusi perbankan.

“Setelah permohonan diluluskan, ahli boleh mengemukakan permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun kepada KWSP, berdasarkan amaun pembiayaan peribadi yang diluluskan institusi perbankan berkenaan.

“FSA2 akan dilaksanakan dalam dua fasa, dan ahli yang memenuhi kriteria kelayakan boleh memohon melalui bank yang mengambil bahagian iaitu MBSB Bank dan BSN.

“KWSP akan mempertimbangkan untuk menambah lebih banyak bank yang mengambil bahagian pada masa hadapan,” katanya.

KWSP berkata, sepanjang Fasa 1 pelaksanaan skim yang akan bermula pada 7 April 2023 dan kekal dibuka selama setahun, ahli yang layak berumur 40 tahun ke atas boleh memohon, tertakluk kepada kesediaan bank yang mengambil bahagian.

Tarikh mula untuk Fasa 2 untuk ahli di bawah umur 40 tahun akan diumumkan dalam masa terdekat.

Di bawah kemudahan ini, semua ahli KWSP warganegara Malaysia di bawah umur 55 tahun boleh membuat notis awal untuk Pengeluaran Umur 50 Tahun atau 55 Tahun, dengan syarat mereka mempunyai jumlah minimum RM3,000 dalam Akaun 2 KWSP mereka.

Jumlah pembiayaan maksimum telah ditetapkan pada RM50,000, tertakluk kepada baki Akaun 2 KWSP, dengan tempoh pembayaran balik sehingga 10 tahun.