PENAMPANG, SABAH – Seorang lelaki berusia 19 tahun maut akibat terlanggar lubang takungan air di pembagi jalan KM 20 Jalan Papar Lama dalam kemalangan membabitkan dua motosikal pada pagi Khamis.
Dalam kejadian lebih kurang 5.10 pagi itu, seorang lagi lelaki berusia 21 tahun mengalami kecederaan di bahagian mata, muka dan tangan.
Ketua Polis Daerah Penampang Superintenden Sammy Newton berkata mangsa telah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Hasil siasatan awal pihak polis di lokasi kejadian mendapati kedua-dua motosikal tersebut datang dari arah Penampang menuju ke Papar melalui Jalan Papar Lama.
“Penunggang motosikal pertama disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan bertugas dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth 1 untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan.
Kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala saksi kejadian digesa tampil untuk membantu siasatan dengan berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133.
“Orang awam dinasihati supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu di jalan raya dan agar tidak menularkan sebarang imej atau klip video tempat kejadian di rangkaian media sosial bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa,” Sammy berkata.