Penyokong Finland Dijangkiti COVID-19 Selepas Menyaksikan Perlawanan EURO 2020

Penyokong Finland Dijangkiti COVID-19 Selepas Menyaksikan Perlawanan EURO 2020

0
SHARE

HELSINKI, FINLAND – Hampir 100 penyokong pasukan kebangsaan Finland yang berkunjung ke Russia untuk saingan EURO 2020 bertemu Belgium dijangkiti COVID-19, kata pihak berkuasa hari ini.

Memetik laporan AFP, Perdana Menteri Finland yang menyertai pihak berkuasa THL bagi melihat keadaan berkenaan meminta penyokong Finland yang pulang selepas kekalahan 2-0 Isnin lalu di Saint Petersburg supaya membuat ujian saringan (swab test).

“Adalah penting semua orang membuat ujian,” kata Sanna Marin kepada wartawan di Mesyuarat Kesatuan Eropah (EU) dekat Brussels.

“Kemungkinan kes boleh dikenal pasti dan jangkitan tidak merebak,” katanya.

Ujian dijalankan dekat kastam di sempadan dengan Russia menunjukkan 86 kes positif dengan lebih banyak ujian sedang dilakukan.

Kesesakan sekitar 3,000 penyokong Finland yang melintas sempadan menyebabkan pegawai membenarkan 800 orang memasuki negara itu tanpa menjalani ujian, kata media tempatan.

Russia hari ini melaporkan lebih 20,000 kes baharu jangkitan dengan 568 kematian, jumlah tertinggi sejak Januari dan mereka kini bergelut untuk menghalang penularan varian Delta.