PERIKATAN NASIONAL MENANG BESAR DI PADANG SERAI

PERIKATAN NASIONAL MENANG BESAR DI PADANG SERAI

0
SHARE

KULIM, KEDAH – Perikatan Nasional (PN) merampas kerusi Parlimen Padang Serai yang disandang Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak tahun 2008 dengan majoriti undi 16,520.

Kemenangan itu sekali gus membawa jumlah kerusi Parlimen PN di Kedah sebanyak 14.

Pakatan Harapan (PH) cuma memiliki Sungai Petani di negeri tersebut.

Calon PN, Datuk Azman Nasrudin memberikan PH kekalahan kerusi Parlimen yang pertama dua minggu selepas kerajaan perpaduan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diumumkan.

Azman yang juga merupakan ADUN Lunas meraih 51,637 undi dalam pertarungan enam penjuru itu.

Calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak mendapat tempat kedua dengan 35,377 (undi).

Calon Barisan Nasional (BN) Datuk C. Sivarraajh yang menarik diri dari berkempen pada 2 Dis lalu bagi memberi ruang kepada Sofee masih mendapat 2,983 undi.

Calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Hamzah Abd Rahman dari Gabungan Tanah Air (GTA) seperti rakan seperjuangan yang lain hilang deposit setelah hanya mendapat 424 undi.

Malah, calon Bebas, Sreanandha Rao yang bertanding buat julung kalinya mendapat 846 undi, namun beliau turut kehilangan wang deposit.

Deposit calon yang gagal meraih sekurang-kurangnya 10 peratus daripada jumlah keseluruhan undi akan dikira hangus.

Pilihan Raya Umum ke-15 Padang Serai ditangguh setelah penyandang kerusi, M. Karupaiya, 69, meninggal dunia pada hari mengundi asal (Dis 16) dua hari selepas diserang sakit jantung ketika berkempen.

Suruhanjaya Pilihan Raya berkata sejumlah 91,416 undi dibuang yang merupakan 68.95 peratus jumlah pengundi manakala 753 undi lagi ditolak.