KOTA KINABALU, SABAH – Persiapan akhir Sambutan Hari Malaysia berjalan lancar, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan raptai penuh sambutan Hari Malaysia yang akan berlangsung di Padang Merdeka Pada Isnin depan.
“Kita nampak ada beberapa perkara boleh ditambah baik dan ada aspek-aspek teknikal yang kita telah terima maklum balas terutama dari para peserta seperti isu audio tapi saya percaya, dengan pasukan yang ada kita akan dapat menangani semua ini dengan baik.
“Setakat ini saya lihat persembahan cukup baik cuma perlu semak beberapa perkara dan saya rasa ia akan menjadi sesuatu yang istimewa pada Isnin nanti.
“Kita doakan semua berjalan dengan baik, meskipun sebelum ini ada sedikit halangan dari segi persediaan seperti hujan dan sedikit ribut namun kita berharap dalam hari yang akan datang cuaca menyebelahi kita,” katanya.
Fahmi turut menyatakan sambutan Hari Malaysia yang dianjurkan pada tahun ini mempunyai keunikannya yang tersendiri.
“Setiap tahun persembahannya ataupun sambutannya berbeza dan saya rasa ada keunikan bagi Sabah, saya percaya ramai yang datang nanti bukan hanya akan dapat menyaksikan acara yang bersejarah tapi juga menikmati persembahan-persembahan yang disediakan, “ujarnya.
Hadir sama, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew, Setiausaha Tetap (SUT) Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Josie Lai dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa. — JABATAN PENERANGAN SABAH