Pesawat Dari Israel Pertama Kali Mendarat Di Arab Saudi

Pesawat Dari Israel Pertama Kali Mendarat Di Arab Saudi

0
SHARE

RIYADH, ARAB SAUDI – Buat kali pertama sebuah pesawat peribadi dari Israel dilaporkan mendarat di Riyadh, Arab Saudi pada pagi Selasa baru-baru ini.

The Jerusalem Post melaporkan bahawa ianya adalah kali pertama pesawat daripada Israel mendarat di tanah Arab Saudi selepas muncul berita pesawat pertama daripada Arab Saudi iaitu Emirati 737 Royal Jet yang berjaya mendarat di lapangan terbang Ben-Gurion, Israel pada Isnin petang yang lalu.

Perkara yang membabitkan hubungan serantau di antara Arab Saudi dan Israel ini difahamkan adalah antara yang terbaru terjadi sejak Israel membuat perjanjian untuk menjalinkan hubungan baik dengan empat negara Islam iaitu UAE, Bahrain, Maghribi dan Sudan sejak perjanjian Abraham 2020 dimeterai.

Walaupun masih tiada penerbangan komersial di antara Arab Saudi dan Israel, kerana kedua-dua negara tidak menjalinkan ikatan, penerbangan itu merupakan kemajuan besar dalam hubungan Saudi-Israel, kerana kedua-dua negara akhirnya membuka ruang udara mereka antara satu sama lain bermula tahun lalu.

Dikelilingi dengan negara-negara yang pernah berperang dengan Israel pada masa lalu, perjalanan udara bebas bukanlah sesuatu yang dipandang remeh di Israel.

Seiring dengan normalisasi 2020 hubungan bersama Bahrain, Sudan, Maghribi dan UAE, ruang udara Israel dibuka, begitu juga dengan pengumuman penerbangan terus ke Dubai, Maghribi dan Bahrain.

Sebelum pembukaan ruang udara Arab Saudi, pesawat El Al terpaksa mengikuti laluan yang jauh dan berliku untuk ke Mumbai bagi mengelakkan dari masuk ke ruang udara Arab Saudi. Perjalanan itu menambah kira-kira dua jam perjalanan dari Tel Aviv.

Antara negara-negara yang masih melarang pesawat Israel melakukan penerbangan terus atau melalui ruang udara mereka adalah Afghanistan, Algeria, Bangladesh, Brunei, Iran, Iraq, Kuwait, Lubnan, Libya, Malaysia, Maghribi, Oman, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Somalia, Syria, Tunisia dan Yaman.