PENAMPANG, SABAH – Sebuah keluarga di Kampung Sugud terpaksa menggunakan ‘Peti Ais’ (Ice Box) bagi memindahkan kanak-kanak ke tempat yang lebih tinggi ekoran banjir kilat yang dialami kawasan Pantai Barat Sabah hari ini (15 Sept).

Daerah ini antara yang paling teruk terjejas ekoran daripada hujan lebat yang turun secara berterusan dari jam 1.00 petang.
“Inilah banjir yang paling teruk kami pernah alami setakat ini,” kata seorang penduduk di Kampung Sugud yang enggan dinamakan.
Detik cemas dirasakan keluarga suri rumah berusia 60-an itu apabila air banjir mula menghanyutkan kenderaan yang diletak pada tanah di hadapan rumah mereka pada kira-kira pukul 3 petang tadi.
“Pada mulanya kami sedang minum petang dan menganggap hujan kuat itu akan reda seperti biasa…
“Kami mula risau dan perasaan takut bertambah apabila pintu dan tingkap kaca di bawah rumah pecah disebabkan arus yang kuat.
“Air besar datang dengan begitu cepat sekali…beberapa orang jiran turut datang berteduh di rumah kami,” katanya apabila dihubungi.
VIDEO menunjukkan kereta milik mangsa yang berada di halaman rumah mulai hanyut dibawa air banjir yang deras di Kampung Sugud…
Katanya, buat masa ini tiada apa yang boleh dilakukan kecuali untuk menunggu air surut bagi membersihkan halaman bawah rumah dari lumpur.
Beliau turut menyuarakan kerisauan jika kenderaan milik mereka rosak akibat dinaiki air banjir.
VIDEO menunjukkan air banjir yang deras menghanyutkan kereta milik mangsa di Kampung Sugud…
“Syukur kami selamat dan kereta yang hanyut tidak mengHempas rumah kami dan air pun mulai turun…
“Nasiblah pada waktu itu semua ahli keluarga sudah berada di rumah, kalau tidak mereka akan terperangkap dalam air banjir,” katanya lagi.
Difahamkan rumah mereka menjadi “benteng pertahanan” bagi jiran-jiran kerana keluasan dan ketinggian dua tingkat.
Sekurang-kurangnya 30 buah kampung dalam daerah berkenaan dibanjiri dan kejadian tanah runtuh di kawasan kuarters pembinaan Forest Hill, Bundusan yang mana telah meragut dua nyawa termasuk seorang kanak-kanak setakat ini.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah berkata setakat pukul 8 malam tadi, sebanyak 121 panggilan kecemasan diterima pihak mereka di mana 80 daripadanya adalah berkaitan kes pemindahan mangsa banjir.
“Empat (4) panggilan diterima berkenaan operasi mencari dan menyelamat di Kampung Kudou, Sugud, Madsiang dan Sungai Sugud di mana dua (2) orang mangsa dikhuatiri hanyut selain insiden tanah runtuh di Forest Hill dan di Kampung Gudon yang tidak melibatkan mangsa…
Kerja-kerja menyelamat di kawasan tanah runtuh di Kampung Segumau Madsiang, Jalan Tambunan…
“Lain-lain panggilan (dua panggilan) termasuk pemindahan mangsa COVID-19 ke Hospital Queen Elizabeth,” katanya.
Manakala bagi daerah Kota Kinabalu, Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) melaporkan Jalan Mangga, Tengkuzu, Cendera Kasih di Kolombong hanya boleh dilalui kenderaan berat.
“Tiga (3) pusat pemindahan sementara (PPS) akan dibuka iaitu di Dewan Serbaguna Likas, Dewan Luyang dan Dewan Damai,” kata sumber APM.