Presiden UMNO, Zahid Hamidi Dijadualkan Menghadap YDP Agong Khamis Ini

Presiden UMNO, Zahid Hamidi Dijadualkan Menghadap YDP Agong Khamis Ini

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada jam 5 petang Khamis ini.

Memetik laporan Bernama, perkara itu disahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, selepas mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi parti di Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam tadi.

“Datuk Seri Zahid Hamidi dititahkan menghadap Seri Paduka Baginda pada hari Khamis, jam 5 petang,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, mesyuarat itu memutuskan bahawa UMNO membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional (PN) dan akan memberi syarat baharu kepada gabungan itu bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis, untuk dilaksanakan secepat mungkin.

Terdahulu, pada sebelah pagi, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hadir ke sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Ketika sidang media pada sebelah petang, Presiden PKR itu mendakwa mempunyai sokongan lebih 120 Ahli Parlimen, selain memaklumkan Yang di-Pertuan Agong akan memanggil ketua-ketua parti untuk mendapatkan input dan pengesahan dokumen yang dipersembahkannya.