PRN 6 Negeri: Manifesto Perpaduan PH-BN Jadi Suntikan Buat Calon Bertanding

PRN 6 Negeri: Manifesto Perpaduan PH-BN Jadi Suntikan Buat Calon Bertanding

0
SHARE

BUTTERWORTH – Manifesto Perpaduan yang diketengahkan oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang menjadi suntikan semangat buat calon-calon dua parti politik gergasi tanah air itu untuk terus berkempen meraih undi dan sokongan rakyat di negeri ini.

Calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Dua Datuk Dr Shaikh Hussein Mydin berkata manifesto berkenaan membuatkan mereka bersemangat untuk bekerja lebih kuat kerana tawaran bukan bersifat menjanjikan ‘bulan dan bintang’, sebaliknya sangat praktikal untuk ditunaikan.

Katanya bantuan RM1,000 kepada jemaah haji, insurans kemalangan diri kepada penunggang p-hailing (motosikal) dan pemberian komputer riba percuma kepada pelajar daripada golongan B40 yang memperoleh tawaran ke institusi pengajian tinggi awam, adalah antara tawaran yang baik kepada rakyat.

“Saya bertanyakan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri (Jagdeep Singh Deo), mana hendak buat rumah bernilai RM150,000, beliau kata kita perlu berkorban demi rakyat…

“Jadi, maksudnya kerajaan negeri ini betul-betul mahu bantu rakyat …Sekiranya saya dipilih, saya akan mewakili orang Sungai Dua untuk memastikan semua dijanjikan dalam manifesto ini dilaksanakan dalam peringkat DUN ini,” katanya ketika ditemui Bernama, di sini, baru-baru ini.

Pada Selasa lepas, PH dan BN Pulau Pinang melancarkan Manifesto Perpaduan dengan 16 tema utama, antaranya menawarkan bantuan RM1,000 kepada setiap jemaah haji daripada golongan B40; memulakan pembinaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang dan Kereta Kabel Bukit Bendera; bantuan RM600 setahun kepada pemandu e-hailing dan meneruskan bantuan RM600 setahun kepada pemandu teksi dan bas sekolah.

Calon PH bagi kerusi DUN Telok Ayer Tawar, Abdul Mohsein Mohd Shariff, Manifesto Perpaduan sangat holistik dan komprehensif kerana kesemua tawaran mengambil kira pengalaman dua parti itu yang pernah menjadi pentadbir dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Gabungan idea daripada kedua-dua gabungan ini pastinya memberi kesan dan tawaran terbaik kepada rakyat negeri ini secara keseluruhannya. Saya percaya rakyat dapat menilai rekod prestasi PH dan BN terdahulu yang efektif dan pasti rakyat akan memperoleh limpahan daripada manifesto yang ditawarkan ini,” katanya.

Sementara itu, calon wanita tunggal yang dipertaruhkan PKR untuk kerusi DUN Sungai Bakap Nurhidayah Che Rose menyifatkan Manisfesto Perpaduan sebagai tawaran rasional yang meliputi semua golongan termasuk masyarakat di luar bandar.

“Manifesto yang ditonjolkan amat baik kepada rakyat negeri ini. Kita akan salurkan maklumat manifesto kepada pengundi di Sungai Bakap dan berharap pengundi menerima tawaran manifesto ini,” katanya yang juga Ketua Wanita Keadilan Pulau Pinang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan diadakan serentak pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos.