PRU15: PN Yakin Sapu Bersih Kerusi Parlimen Di Kedah

PRU15: PN Yakin Sapu Bersih Kerusi Parlimen Di Kedah

0
SHARE
Muhyiddin (tengah) ketika Pelancaran PN BEST dan Manifesto Perikatan Nasional Negeri Kedah di Pendang Convention Centre (PCC) pada malam Isnin...(Sumber Foto: Sinar Harian)

PENDANG, KEDAH – Perikatan Nasional (PN) yakin akan memperoleh majoriti besar bagi kerusi Parlimen di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kesemua 15 kerusi Parlimen di Kedah dilihat mampu dimenangi dan disapu bersih PN.

Memetik laporan Sinar Harian, beliau menyatakan keyakinan memenangi 15 kerusi Parlimen terbabit disuarakan berdasarkan momentum yang ditunjukkan parti dalam tempoh ini.

“Datuk Seri (Muhammad Sanusi Md Nor) kata boleh menang semua. Jadi, ada momentum dan saya pun nampak momentum. Saya bukan hendak mendabik dada, tidak wajar (namun) tapi saya tahu di bawah macam mana reaksi dan respons rakyat…

“Sebelum kita lancar (PN BEST dan manifesto) pun rakyat sedar, maka selepas lancar ini lebih hebat sebab mereka tahu dalam UMNO sendiri pun orang UMNO sudah marah pasal apa sekarang tidak lantik orang ini sebagai calon,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Pelancaran PN BEST dan Manifesto Perikatan Nasional Negeri Kedah di Pendang Convention Centre (PCC) di sini pada malam Isnin.

Hadir sama, Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Muhyiddin berkata, disebabkan itu pihaknya memiliki keyakinan memandangkan parti-parti lain tidak menunjukkan prestasi memberangsangkan dan memiliki masalah tersendiri.

“UMNO sedang berdepan masalah serius, bagaimanapun saya mahu pergi kepada perkara ini. Bagi Pakatan Harapan (PH) pula, kita lihat banyak kerusi (misalnya) Parti Keadilan Rakyat (PKR) pun dia kalah dengan tempat orang Melayu (mereka) makin merosot,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara berbeza ditunjukkan PN memandangkan undi meningkat lebih ketara berdasarkan data-data diperoleh parti terbabit.

Ketika diminta mengulas mengenai kesanggupan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk memberi laluan calon Menteri Besar daripada Pas di negeri tertentu, Muhyiddin berkata, beliau tidak memiliki masalah mengenai perkara itu.

“Kita tidak fikir siapa menteri besar, yang penting jaga negeri dengan baik macam Datuk Seri Muhammad Sanusi. Jadi, kita sokong. Lagipun Exco pun ada daripada Bersatu. Jadi, kita bersetuju…

“Tapi, macam negeri lain kita ada juga rundingan, kita menjadi menteri besar memandangkan kita lebih besar. Namun negeri di utara ikut sejarah pun (seperti) di Perlis, Pas yang banyak kerusi. Di Pahang, Pas yang banyak kerusi,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin berkata, beliau menjangkakan Perlis dan Pahang juga boleh dimenangi PN pada pilihan raya umum kali ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas sama ada beliau yakin kewujudan audio mengenai rundingan sulit antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Muhyiddin berkata, beliau memang ada mendengar dakwaan itu.

“Saya dengar macam itu, macam sudah ada satu persefahaman. Yang saya sebut tadi, yang saya dengar, sahih tidak sahih… wallahu a’lam (Dan Allah Maha Mengetahui),” katanya.