KUTUB SELATAN – Perubahan iklim yang tidak menentu mendesak saintis-saintis menggunakan penguin sebagai petunjuk kepada perubahan iklim.
Menurut laporan Wion News, menurut kajian saintis, kawasan Semenanjung Antartika dikatakan telah mengalami pemanasan yang pantas manakala Antartika Timur kekal sejuk dan dilitupi ais.
Berbanding haiwan lain, penguin dikatakan lebih mudah dijejaki kerana haiwan itu bersarang di darat dan berbulu hitam serta sisa najisnya yang boleh diperhatikan pada ais putih.
“Kami mengira sarang penguin untuk mengetahui berapa banyak penguin yang berada dalam satu koloni, jumlah anak yang dihasilkan setiap tahun dan sama ada jumlah itu meningkat atau menurun dengan keadaan persekitaran,’’ kata seorang penyelidik, Borowicz dari Universiti Stony Brook di New York.
“Kami boleh menggunakan penguin sebagai spesies indikator untuk melihat bagaimana seluruh ekosistem beroperasi,’’ jelas seorang penyelidik lain, Wethington.
Menerusi kajian yang dijalankan, habitat baharu penguin dilihat muncul apabila perubahan iklim berlaku dan ada yang terpaksa bermigrasi ke iklim yang lebih sejuk.
Kajian tersebut dijalankan dengan mengira setiap ekor penguin dan kaedah lain termasuk menerusi imej satelit.
Spesies penguin Gentoo dengan paruh oren terang dan tanda putih di kepala dilihat lebih menyukai air laut dengan ketulan ais yang terapung.
Pada separuh abad ke-20, suhu di Semenanjung Antartika mula meningkat lebih cepat berbanding kebanyakan tempat lain di dunia menyebabkan populasi penguin Gentoo berkembang ke selatan dan dikenali sebagai ‘gentoofikasi Antartika’.
Keadaan dilihat bertambah buruk bagi spesies penguin Adelie yang bergantung kepada ais di laut untuk pembiakan dan pemakanan. Secara keseluruhan, populasi penguin Adelie semakin meningkat tetapi sesetengah populasi telah menurun lebih 65 peratus.





