KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta kerajaan Persekutuan agar memberikan perhatian serius untuk meluluskan peruntukan bagi memboleh pelaksanaan projek lebuh raya Pan Borneo di negeri ini.
Katanya, 19 pakej dalam fasa 1 di Sabah masih bergelut dengan masalah kewangan menyebabkan projek tersebut terbengkalai berbanding dengan Sarawak yang mana telah hampir siap.
“Kita belum bercakap jajaran Projek Lebuh Raya Pan Borneo Fasa 2 dari Tamparuli ke Kundasang Fasa 3 dari Tawau, Kalabakan dan Kimanis.
“Saya sedih dan perkara ini sering saya perjuangkan. Saya berharap fasa 1 di Sabah dapat diselesaikan dalam tempoh dua tahun,” katanya membahas Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat semalam.
Menurut Bung yang juga Pengerusi Barisan Nasional Sabah, penyiapan jajaran lebuh raya Pan Borneo Sabah begitu penting bukan sahaja untuk kemudahan perhubungan tetapi landskap ekonomi Sabah apabila siap nanti.
“Sektor pertanian boleh dimajukan dengan memudahkan rakyat memasarkan ke bandar bandar utama, begitu juga, pelancong akan akan ramai datang melawat Sabah.
“Sistem perhubungan jalan raya yang selesa memudahkan mereka bergerak melawat tempat menarik di negeri ini dan ini sudah tentu turut memberikan pulangan ekonomi kepada negeri dan rakyat,“ katanya.
Bung menekankan bahawa bekalan air bersih dan elektrik juga perlu diambil perhatian serius dan wajar diberikan peruntukan.
“Isu bekalan air bersih bukanlah sesuatu yang mudah, saya pernah mencadangkan agar Jabatan Air Sabah didaftarkan di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi memudahkan penyaluran peruntukan.
“Bagaimanapun kerajaan negeri memilih untuk mengurus sendiri isu bekalan air di Sabah tapi akhirnya apa yang kita temui hanya longgokan duit di dalam kereta, rumah dan pejabat,” katanya.






