SPRM Tahan 2 Pegawai MAQIS Disyaki Terbabit Kes Kartel Daging Direman 5...

SPRM Tahan 2 Pegawai MAQIS Disyaki Terbabit Kes Kartel Daging Direman 5 Hari

0
SHARE

JOHOR BAHRU – DUA (2) pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor yang ditahan malam tadi bagi membantu siasatan kes kartel daging sejuk beku, direman selama lima hari bermula hari ini.

Memetik laporan Bernama, perintah reman sehingga Isnin ini dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Johor Bahru, Nur Izzaty Muhammad Zahari selepas membenarkan permohonan reman dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tempoh reman berkenaan akan membolehkan kedua-dua suspek (he) berusia 27 dan 31 tahun disiasat lanjut di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Kedua-dua mereka yang ditugaskan di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah di Iskandar Puteri, dekat sini, ditahan di Ibu Pejabat SPRM negeri kira-kira jam 11 malam tadi selepas disyaki menerima rasuah bagi aktiviti penyeludupan berkenaan.

Pada 2 Disember lalu, MAQIS membongkar kegiatan kartel itu yang membawa masuk daging tanpa sijil halal sebelum meletakkan logo halal palsu untuk dijual di pasaran tempatan.

Dalam perkembangan lain, empat individu lain terdiri daripada tiga pengarah syarikat dan seorang kerani yang turut direman selama empat hari bersabit skandal sama sebelum ini telah dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 setiap seorang selepas tempoh reman mereka tamat hari ini.

Kesemua suspek berusia antara 39 hingga 50 tahun sebelum ini dikenakan perintah reman selama empat hari bermula Isnin oleh Mahkamah Majistret di sini.