SPR Telah Wartakan 153 Pusat Mengundi Awal ATM

SPR Telah Wartakan 153 Pusat Mengundi Awal ATM

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Sebanyak 153 pusat mengundi awal Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) sebagai pusat pengundian awal bagi anggota dan pasangan di seluruh negara.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dalam satu kenyataan turut menyatakan seramai 146,737 orang anggota dan pasangan direkodkan seperti yang telah diwartakan dalam Daftar Pemilih Pilihanraya (DPPR).

Mengulas lanjut, proses membuang undi bagi anggota yang didaftarkan sebagai pengundi pos telah bermula 7 November lalu sehingga 19 November 2022 sebelum jam lima petang setelah menerima Sampul Keutamaan Kertas Undi Pos (SKKUP) yang dikeluarkan oleh Pegawai Pengurus bagi sesuatu bahagian pilihan raya.

“Adalah menjadi harapan ATM agar proses pengundian berkenaan berjalan dengan lancar bagi membolehkan setiap anggota dapat menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi yang sah sepertimana rakyat Malaysia yang lain…

“ATM juga sentiasa menyokong proses dan Sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berpelembagaan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.

“Atas kesetiaan kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga, warga ATM sentiasa berpegang kepada norma-norma integriti di dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab demi kesejahteraan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Affendi turut berkata ATM akan terus memfokuskan keutamaan dalam memperkasakan kesiapsiagaan angkatan demi melindungi kepentingan dan kedaulatan negara pada sebilang masa.

Ini berikutan ketika negara kini telah mula memasuki Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh yang bermula sejak 7 November dan akan berlarutan sehingga Mac tahun hadapan.

Menurutnya, pihaknhya juga telah bersiap siaga dan bersedia untuk mengaturgerakkan aset sekiranya berlakunya banjir terutama di negeri-negeri yang berisiko terjejas dengan bencana tersebut.

“Dalam pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), terutamanya pada tarikh 19 November nanti, ATM juga bersedia menghulurkan bantuan kepada pihak SPR, pihak berkuasa tempatan dan pihak berkuasa awam dalam memastikan perjalanan proses pengundian di seluruh Negara berjalan dengan lancar…

“Pada masa sama ianya bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara daripada sebarang kemungkinan yang tidak diingini sepanjang proses pengundian serta apabila keputusan pilihan raya diumumkan kelak,” katanya.