KUALA LUMPUR – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh telah dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO itu hari ini berkata beliau telah menyerahkan pencalonan kepada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.
“Saya telah menyerahkan surat kepada TYT Melaka selepas menerima peletakan jawatan Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
“Dengan ini, parti kita telah mencadangkan Datuk Seri Rauf sebagai ketua menteri Melaka seterusnya. ‘Fullstop’,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat di bangunan Parlimen.
Diminta mendedahkan sebab Sulaiman meletak jawatan, Ahmad Zahid berkata ia adalah atas sebab kesihatan.
Didesak menjelaskan komposisi exco negeri di bawah ketua menteri baharu, beliau berkata perkara itu telah dibincangkan dan ia akan mencerminkan semangat kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan.
“Sebab itu kita mahu mengambil semangat kerajaan perpaduan yang dilihat harmoni di peringkat persekutuan.
“Saya yakin semangat yang sama akan dibawa ke Melaka agar optik yang lebih baik bukan sahaja untuk negeri tetapi untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.
Majlis angkat sumpah Ketua Menteri Melaka yang baharu akan diadakan pada tiga petang Jumaat (31 Mac), kata setiausaha kerajaan negeri Datuk Wira Zaidi Johari.
Beliau berkata majlis itu akan diadakan di dewan utama pejabat Yang-Di Pertua Negeri di Ayer Keroh di sini.
Sulaiman, 56, yang merupakan ADUN Lendu, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12 pada 9 Mac 2020 selepas kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan tumbang.






