Suspek Buang Mayat Bayi Dalam Tong Sampah Pusat Beli Belah Mohon Tidak...

Suspek Buang Mayat Bayi Dalam Tong Sampah Pusat Beli Belah Mohon Tidak Dikecam

0
SHARE

KOTA KINABALU: “Saya meminta maaf dan meminta tolong mencari tempat sesuai untuk anak saya. Terima kasih pertolongan anda. Jangan kecam saya. Saya pun tidak mahu ini terjadi.”

Demikian tulis suspek dalam sekeping nota bersertakan mayat seorang bayi perempuan yang ditemui dalam tong sampah sanitasi sebuah pusat beli belah di bandaraya, sini, pada Khamis, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Supt Kalsom Idris berkata pihaknya menerima aduan daripada seorang penyelia syarikat pembersihan pusat belah tersebut pada jam 9.40 malam.

“Hasil pemeriksaan mendapati satu mayat bayi perempuan cukup sifat ditemui dalam keadaan dibalut dengan kain tuala.

“Turut ditemui bersama mayat bayi tersebut ialah cebisan kertas yang tertulis nota.

“Pihak polis sedang menjalankan siasatan ke atas rakaman kamera litar tertutup di kawasan kejadian selain membuat risikan maklumat bagi mengenalpasti suspek yang terlibat,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Kalsom berkata kes sedang disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes diminta berhubung dengan Inspektor Hatikah Ahmad @ Abd Ghani di talian 016-8337243.