TLDM Tubuhkan Lembaga Siasatan Untuk Teliti Kes Kematian 2 Anggotanya

TLDM Tubuhkan Lembaga Siasatan Untuk Teliti Kes Kematian 2 Anggotanya

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah menubuhkan Lembaga Siasatan bagi meneliti kes kematian dua anggotanya, Mohd. Baihaqy Nik Mat, 28 dan Muhammad Lailatulman Mohd. Sukry, 26 petang semalam.

Memetik laporan Kosmo Online, Mohd. Baihaqy dan Muhammad Lailatulman meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit Sg. Wangi, Sitiawan selepas mengadu kepenatan ketika menjalani latihan fizikal.

TLDM dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini hari ini berkata, punca kematian masih dalam siasatan pihak polis TLDM akan memberi kerjasama sepenuhnya bagi membantu siasatan.

“Kedua-dua anggota tersebut telah mengadu kepenatan seterusnya direhatkan serta dimasukkan ke dalam bilik tahanan.

“Mereka mengalami muntah, keletihan dan sesak nafas serta diberikan rawatan awal oleh petugas pusat tahanan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik.

“Pemeriksaan awal doktor bertugas tidak menemui sebarang kesan pukulan atau penderaan fizikal namun kita tidak boleh menolak sebarang kemungkinan sebab sebenar kematian tersebut,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, Lembaga Siasatan akan meneliti SOP sedia ada dan sekiranya terdapat pelanggaran terhadap SOP tersebut.

“TLDM tidak akan berkompromi atau melindungi mereka yang melanggar prosedur semasa melaksanakan tugas,” katanya.