KOTA KINABALU, SABAH – UMNO Sabah menyifatkan pemergian Penolong Ketua Penerangan UMNO Sabah Allahyarham Datuk Haji Nalwan Kabang sebagai satu kehilangan besar kepada rakyat khususnya UMNO Sabah.
Ketuanya Dato Sri Bung Moktar Radin berkata, Allahyarham Nilwan merupakan seorang yang berjiwa kental, tidak mudah menyerah kalah dan sentiasa tenang dalam menghadapi cabaran.
“Allahyarham seorang sahabat yang rapat dengan saya, kami berkecimpung dan berjuang dalam kerjaya politik sejak era pemerintahan USNO sehingga UMNO melebarkan sayap ke Sabah…
“Kami berjuang dalam bersama, sebab itu saya sifatkan allahyarham seorang pemimpin berjiwa kental dan sentiasa benar kepada perjuangan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Allahyarham Nilwan, 71, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak dan veteran politik Sabah meninggal dunia di Hospital Gleneagles di sini, awal pagi ini lebih kurang jam 3.45 pagi.
Nilwan, sebelum ini mendapat rawatan di hospital tersebut pada awal bulan ini.
Bung yang Juga Timbalan Ketua Menteri turut berkongsi kesedihan atas pemergian Allahyarham Nilwan.
“Bagi pihak keluarga Besar UMNO Sabah saya merakamkan ucapan takziah kepada isteri arwah Datin Amnani Abdullah serta seluruh ahli keluarga moga mereka tabah menghadapi saat sukar ini…
“Kami mendoakan moga roh allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan mereka yang beriman,” kata Bung.