VIRAL UBAH SUAI BAS SEKOLAH JADI ‘SURAU BERGERAK’, KINI SAH DI ATAS...

VIRAL UBAH SUAI BAS SEKOLAH JADI ‘SURAU BERGERAK’, KINI SAH DI ATAS JALAN RAYA

0
SHARE
Yusuf Hadi berterima kasih kepada JPJ kerana berjaya mendaftarkannya secara sah di bawah kod badan Bas Perkhidmatan Bergerak mengikut peraturan...(Sumber Foto: Bernama)

KUALA TERENGGANU – Apabila satu pintu rezeki tertutup yang lain pasti akan dibuka. Dengan kos hampir RM 40,000, Yusuf Hadi Al Hafidz Sapai, 41, berjaya mengubah suai sebuah bas sekolah mini untuk dijadikan surau bergerak.

Beliau yang juga Pengerusi Terengganu Food Truck berkata telah membeli kenderaan terpakai itu pada harga RM8,000 dari seorang kawan untuk dijadikan kendera saji namun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020 menyebabkan aktiviti perniagaannya terhenti.

Memetik laporan Bernama, Yusuf teruja melihat tercapai dengan bantuan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu yang memberi khidmat pelesenan dan undang-undang.

“Selepas berbincang bersama rakan peniaga lain, akhirnya saya memutuskan mahu mengubah suai bas sekolah mini itu menjadi surau bergerak…

“Hasil sumbangan orang ramai, proses ubah suai ini berjaya direalisasikan dan saya berterima kasih kepada JPJ Terengganu kerana berjaya mendaftarkannya secara sah di bawah kod badan Bas Perkhidmatan Bergerak mengikut peraturan,” katanya.

Lesen Kenderaan Motor untuk bas mini surau bergerak itu yang disampaikan Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim sempena majlis sambutan Aidilfitri JPJ Terengganu di sini pada Ahad.

Surau bergerak itu dilengkapi pendingin hawa, tempat wuduk, ruang imam, lampu, jam waktu solat serta bumbung bagi ruangan solat pada bahagian luar kenderaan yang mampu menampung 19 jemaah dalam satu masa.

Sementara itu, Zailani dalam sidang medianya berkata JPJ sedia membantu mana-mana pihak atau individu untuk mengubah suai kenderaan menjadi surau bergerak seperti mana dilakukan Bahagian Kejuruteraan Automotif JPJ Terengganu sebagai tanggungjawab sosial mereka.

“Tidak semestinya umat Islam sahaja, apa-apa bangsa dan agama yang berhasrat melakukan ubah suai kenderaan untuk sesuatu yang bermanfaat kepada orang ramai pun akan dibantu agar ia mematuhi spesifikasi dan peraturan ditetapkan JPJ…

“Surau bergerak ini yang diletakkan di dataran jambatan angkat diharap mampu melonjakkan lagi sektor pelancongan di Terengganu kerana kewujudannya dapat memberi kemudahan solat yang selesa kepada umat Islam yang berkunjung ke kawasan tersebut,” katanya.