PUTRAJAYA – Daripada 7,234 kes Covid-19 yang dilaporkan hari ini, sebanyak 73 kes atau 1.0 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.
Menurut laporan Kosmo, ini kerana ramai orang telah pun menerima vaksin serta dos penggalak dan ini menyumbang kepada kadar pengurangan jumlah pesakit Covid-19 yang mendapat jangkitan sehingga kategori tiga, empat dan lima.
“Selebihnya iaitu 7,161 kes pula atau 99.0 peratus melibatkan kategori satu dan dua. Ini menunjukkan vaksin berfungsi,” katanya Menerusi ciapan di Twitter.
Ujarnya kategori tiga ialah melibatkan pesakit dengan jangkitan paru-paru, kategori empat pula jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen manakala, kategori lima ialah kritikal, organ rosak dan memerlukan ventilator.
Tambahnya, sebanyak 234 kes daripada 7,234 kes yang dilaporkan hari ini melibatkan jangkitan import dengan jumlah kumulatif kes Covid-19 sebanyak 2,895,014 kes.
“Terdapat 21 kluster baharu dikenal pasti dengan jumlah kluster tamat sebanyak 6,132 kluster serta kluster aktif mencatatkan sebanyak 346 kluster…
“Kes sembuh pula merekodkan sebanyak 5,254 kes dengan jumlah keseluruhan kes sembuh sebanyak 2,799,608 kes,” katanya.





