KUALA LUMPUR – Prinsip Etika Kewartawanan Malaysia perlu dikaji semula atau ditambah baik seiring peredaran semasa, kata pengamal media dan komunikasi Dr G Manimaran.
Beliau yang dipetik Bernama berkata, ini kerana etika kerjaya yang diwujudkan empat dekad lalu itu perlu sesuai dengan amalan kewartawanan mengikut kesesuaian keadaan semasa
dari aspek sosial, politik serta global.
“Sekarang ada citizen journalism (wartawan rakyat), media bebas dan platform media sosial, bagi saya sudah sampai masanya perkara ini (etika kewartawanan) dilihat, tambahan akan sambut Hari Wartawan Nasional (HAWANA).
“Jadi perkara ini agak realistik kerana kita kena mulakan satu asas yang baharu,” katanya ketika dihubungi menerusi program Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV semalam.
Manimaran yang mempunyai pengalaman kira-kira 22 tahun dalam bidang kewartawanan berkata golongan wartawan kini berdepan pelbagai cabaran terutama dalam aspek skop kerja mereka.
“Dahulu wartawan hanya tulis (berita) untuk surat khabar atau radio atau majalah tetapi kini seorang wartawan perlu menulis bahan beritanya untuk pelbagai platform termasuk dalam penyiaran,” katanya.
Mengulas tema HAWANA 2022 iaitu ‘Suara Jelata, Aspirasi Negara’, beliau berkata ia menyatakan peranan sebenar media sebagai mengangkat suara rakyat dengan membangkitkan setiap isu yang perlu diambil tindakan pihak berkuasa.





