Sukan Anak Sabah Platform Perpaduan, Kepimpinan Belia

Sukan Anak Sabah Platform Perpaduan, Kepimpinan Belia

0
SHARE

GOMBAK: Penganjuran Sukan Anak-anak Sabah 2025 bukan sekadar pertandingan, tetapi platform membina perpaduan, kepimpinan dan pembangunan belia Sabah di perantauan.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata program itu menghimpunkan mahasiswa Sabah dari tiga kampus melalui acara futsal, badminton, bola tampar serta e-sukan seperti ML dan PUBG.

Sukan bukan hanya soal kemenangan, tetapi membentuk karakter, kepimpinan dan semangat berpasukan,” katanya pada majlis penutupan.

Beliau menegaskan nilai disiplin, kerjasama dan perpaduan penting dalam melahirkan belia berdaya tahan serta cintakan negeri, selain menghargai semua pihak yang menjayakan program.

Nizam berkata kerajaan negeri komited memajukan Sabah sebagai negeri sukan, termasuk meneroka potensi e-sukan dan ekonomi kreatif melalui pelbagai inisiatif.

Dalam aspek pendidikan, beliau berkata seramai 13,550 pelajar menerima Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) dari 2021 hingga 2024, dengan peruntukan mencecah RM136 juta tahun lalu.

Beliau turut menggesa mahasiswa menjadi ejen perubahan dan pemimpin masa depan, serta terus mengaktifkan penglibatan belia dalam sukan dan komuniti.