SEREMBAN – Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibubarkan, berkuat kuasa hari ini (5 Jun), sekali gus membuka laluan kepada PRN ke-16 yang mesti diadakan dalam tempoh 60 hari akan datang.
Menteri Besar Aminuddin Harun yang dipetik FMT berkata Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, memperkenankan permintaan beliau untuk membubarkan DUN, pada pertemuan malam tadi.
PRN Negeri Sembilan yang lalu diadakan pada Ogos 2023.
Pembubaran ini menyusuli ketegangan politik selama beberapa minggu, yang tercetus bulan lalu apabila semua 14 Adun Barisan Nasional menarik balik sokongan kepada Aminuddin, berhubung pengendalian kontroversi yang melibatkan empat Undang yang cuba menurunkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar.
UMNO Pusat kemudian mengarahkan ADUN mereka supaya menyokong kerajaan negeri, namun pemimpin Pakatan Harapan dan UMNO secara terbuka menggesa pembubaran DUN sebagai jalan penyelesaian.
Aminuddin yang juga pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan memberitahu pemberita bahawa kemelut lantaran tindakan BN mendasari permintaan beliau untuk membubarkan DUN.
“Kita perlu serah mandat kembali kepada rakyat menentukan masa depan Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media khas.
Aminuddin memaklumkan bahawa Pengerusi PH Anwar Ibrahim maklum dan bersetuju dengan langkah ini.
“Perdana menteri turut menghadap Tuanku,” katanya.
Sementara itu, Aminuddin mengumumkan PH akan bertanding di semua 36 kerusi DUN Negeri Sembilan.
Beliau berkata pembahagian kerusi antara komponen sudah selesai, dan akan dimuktamadkan minggu depan.






