TAWAU: Seorang lelaki berusia 23 tahun dicekup polis selepas disyaki mencabul teman wanitanya dengan menyentuh beberapa bahagian tubuh mangsa secara paksa ketika berada di dalam sebuah kereta di kawasan Megah Jaya, di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner (ACP) Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek warga tempatan itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 12.01 tengah malam, semalam.
Beliau berkata, tangkapan dilakukan susulan laporan polis berhubung kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 7.43 malam.
“Siasatan awal mendapati suspek menyentuh beberapa bahagian tubuh mangsa secara paksa setiap kali mereka berjumpa,” katanya.
Rosdi berkata, siasatan turut mendapati suspek dipercayai pernah memaksa mangsa melakukan perbuatan tidak senonoh, namun ditolak mangsa.
Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Rosdi menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan cabul atau gangguan seksual dan tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga keselamatan diri dan keluarga serta segera membuat laporan polis sekiranya berlaku sebarang kejadian mencurigakan.
Kes masih dalam siasatan bagi menentukan fakta dan keadaan sebenar kejadian.






