JOHOR BAHRU – Berita gembira buat rakyat Johor apabila dikhabarkan Anakanda Sultan Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim bakal melangsungkan perkahwinan memilih jejaka dari Belanda, Dennis Muhammad Abdullah sebagai pasangannya pada 14 Ogos nanti.
Memetik laporan Bernama, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, Dennis Muhammad atau nama asalnya Dennis Verbaas pula dilahirkan pada 1 Mei 1989 di Lisse, sebuah bandar berdekatan Amsterdam, Belanda dan merupakan anak kedua daripada tiga beradik.
Beliau berkata, anak pasangan Martin dan Henriette Varbaas itu menerima pendidikan di Floretti College Hillego The Netherlands dan kemudian meneruskan pelajaran vokasional dalam bidang kejuruteraan mekanikal di ROC Leiden, The Netherlands.
Katanya, gemar bermain bola sepak, Dennis Muhammad bekerja dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor sebagai Pengurus JDT Concept Store and Cafe dan selepas itu sebagai Pengurus Pemasaran Kelab Bola Sepak Tampines Rovers Singapura.
Menurut Abdul Rahim, Dennis Muhammad memeluk Islam pada 31 Mei 2015 di Pejabat Kadi Johor Bahru dan dipimpin oleh pegawai agama bagi mempelajari Islam termasuk solat, berpuasa Ramadan, pengajian Al-Quran, akhlak dan tulisan jawi selain dididik dalam Bahasa Melayu, budaya, etika serta protokol istana.
“Mulai tahun ini, Dennis Muhammad diasuh dan dipimpin oleh keluarga angkat yang diperkenan tuanku. Jadual pelajaran agama ditambah dan prestasi beliau sentiasa dipantau oleh panel guru dan pendidik Jabatan Agama sehingga mencapai taraf yang diperkenankan.
Dennis Muhammad lulus cemerlang dalam ujian tulisan, lisan dan praktikal,” kata Abdul Rahim.