DYMM AGONG NASIHAT AHLI PARLIMEN MUHASABAH DIRI JANGAN LETAKKAN SEKALI LAGI NEGARA...

DYMM AGONG NASIHAT AHLI PARLIMEN MUHASABAH DIRI JANGAN LETAKKAN SEKALI LAGI NEGARA KE KANCAH POLITIK TIDAK MENENTU

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Rakyat khususnya ahli-ahli politik dinasihati agar sama-sama bermuhasabah supaya Malaysia tidak sekali lagi diheret ke kancah politik yang tidak menentu ketika ini yang mana negara masih lagi berhadapan dengan masalah utama yang sukar akibat ancaman wabak COVID-19, demikian titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ria’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah hari ini.

Baginda Agong menegaskan agar semua Ahli Politik seharusnya tidak mengakhiri perbezaan pendapat dengan permusuhan, tetapi sebaliknya menyelesaikan masalah tersebut melalui perundingan dan proses-proses perundangan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mengulangi titah nasihat baginda semasa ‘Istiadat Perasmian Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14’ pada Mei lalu, semua Ahli Parlimen perlu pamerkan kematangan dalam berpolitik dan memahami serta menjiwai keluh kesah rakyat dan tidak mengabaikan kesejahteraan rakyat.

Dalam pada masa yang sama, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan bahawa baginda Agong bertitah agar semua masjid di seluruh negara diseru untuk mengadakan solat hajat dan doa selamat memohon ihsan Allah SWT agar penularan wabak COVID-19 dapat dibanteras dengan berkesan dan segera sempen an mengambil keberkatan hari Jumaat yang mulia hari ini.

Menurutnya lagi, titah baginda Agong tersebut susulan daripada penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sabah sehingga 26 Okt 2020, manakala Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 27 Okt 2020 serta kewujudan beberapa kluster baharu di Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Labuan.

Oleh itu, baginda Agong menasihati seluruh rakyat untuk terus memainkan peranan masing-masing dan berdisiplin mematuhi SOP dan tatacara amalan kebiasaan norma baharu (new norm) dalam membantu pihak-pihak berkuasa memerangi penularan wabak COVID-19 ini.

Sumber foto dipetik daripada kenyataan Istana Negara hari ini (16 Oktober 2020)…