
LAHAD DATU, SABAH – Program Kembara Sains Borneo (KSB) 2024 menjelajah ke 10 daerah di negeri ini untuk memperkasa agenda Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Dato Mohammad Yusof Apdal berkata, di bawah inisiatif Pusat Sains Negara (PSN), program jelajah tersebut membawa pengalaman pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pameran interaktif dan aktiviti sains yang menyeronokan khusus untuk komuniti di Sabah dan Sarawak.
“MOSTI serius dalam usaha merakyatkan sains dalam kalangan masyarakat Malaysia.
“Antaranya, membawakan pengalaman penerokaan dan pembelajaran STEM kepada masyarakat setempat dengan tujuan untuk meningkatkan minat, pemahaman dan kemahiran dalam bidang ini.
“Istimewanya KSB 2024 akan menjelajah ke sepuluh daerah di Sabah bermula di Lahad Datu melalui Kinabatangan, Ranau dan berakhir di Kota Kinabalu.
“Selepas itu akan ke Sarawak bermula di Miri dan berakhir di Kuching,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Yusof memaklumkan pihaknya sentiasa melaksanakan pelbagai program dan inisiatif berteraskan rangka kerja Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021 – 2030 bagi memperkukuh dan memantap peranan STI sebagai asas dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
“Pengembaraan ini melibatkan lebih 20 sekolah terpilih sebagai lokasi persinggahan dengan anggaran peserta yang mendapat manfaat adalah seramai 15,000 orang.
“Melalui program ini, PSN akan melaksanakan pelbagai aktiviti interaktif yang menarik berkonsepkan Hands On, Minds On, Hearts On selaras dengan usaha memperkenalkan pembelajaran sains bukan formal kepada masyarakat.
“Antara aktiviti yang akan diadakan sepanjang penjelajahan KSB 2024 adalah sesi Ceritera Sebalik Radas daripada saintis-saintis terkenal, Kinect Sport, Drone Challenge, Demonstrasi Sains, Let’s Xperiment, STEM Challenge, Mini Planetarium, Planet Virtual Reality dan banyak lagi,” katanya ketika berucap melancarkan Program Kembara Sanis Borneo (KSB) 2024 di sini, semalam.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, Ruziah Shafei; Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim; Pengarah Pusat Sains Negara, Mohammad Fuad Rahman dan Pengerusi Hibiscus Petroleum Berhad, Zainul Rahim Mohd Zain. — JABATAN PENERANGAN SABAH





