KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkemungkinan besar akan melakukan rombakan semula kabinet selepas percubaan menggulingkan pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) gagal, semalam.
Memetik sumber Free Malaysia Today hari ini, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang dikaitkan dengan cubaan itu turut dijangka menjadi ‘korban’ dalam rombakan terbabit.
Berdasarkan sumber terdekat Hajiji, dikatakan terdapat juga kemungkinan Bung Moktar akan digugurkan dari kabinet bersama Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin
Namun begitu menurut sumber terbabit, tidak semua pemimpin BN Sabah akan digugurkan.
“Hal ini dibincangkan semalam. Bukan bercerai dengan BN Sabah. Hajiji hanya mahu pastikan kerajaan terus berfungsi,” menurut sumber tersebut.
Disamping itu, difahamkan Hajiji juga bakal membuat pertemuan dengan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan.
Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Darell Leiking berkata partinya membuat keputusan untuk tunggu dan lihat.
Semalam, pertemuan ADUN BN Sabah yang diketuai Bung Moktar di bangunan UMNO Kota Kinabalu, di sini, semalam telah mencetuskan spekulasi berhubung kerjasama dengan WARISAN untuk menggulingkan Hajiji.
Pada masa yang sama, Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah membatalkan sidang media yang dijadualkan pada jam 4.30 petang selepas dua jam tertangguh.





