PM Bincang Langkah Harungi Ketidaktentuan Ekonomi, Pasaran Global Bersama Wakil Perdagangan AS

PM Bincang Langkah Harungi Ketidaktentuan Ekonomi, Pasaran Global Bersama Wakil Perdagangan AS

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membincangkan mengenai pelbagai langkah untuk mengharungi ketidaktentuan ekonomi dan pasaran kewangan global semasa pertemuan beliau dengan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR), Katherine Tai, semalam.

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam laman media sosial rasmi Facebook, Anwar yang juga Menteri Kewangan  berkata, perbincangan mereka juga turut menyentuh mengenai langkah bagi mengukuhkan kerjasama ekonomi, isu-isu kemudahan perdagangan, selain melaksanakan usaha untuk menarik pelaburan yang berkualiti ke Malaysia.

Menurutnya, lawatan Tai semalam merupakan lawatan kerja yang pertama kali oleh ahli Kabinet Pentadbiran Amerika Syarikat ke Malaysia, sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan tahun lalu.

Pertemuan ini turut dihadiri oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, manakala delegasi Tai turut diiringi oleh Duta Besar AS ke Malaysia, Brian D McFeeters.