
BEAUFORT, SABAH – UMNO bahagian Beaufort mengambil pendirian untuk meletak calon dari parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
Ketuanya, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, tidak ada sebab bagi UMNO tidak meletakan calon pada PRU-15 memandangkan kawasan itu sebelum ini dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) yang diwakili oleh UMNO.
“Hanya bila berlakunya rentas parti oleh Ahli Parlimen tanpa persetujuan penuh dari ahli-ahli Umno bahagian itu, dengan mudah kawasan tersebut di beralih kepada parti lain tanpa persetujuan di peringkat akar umbi,” katanya selepas merasmikan mesyuarat cawangan berkelompok bagi daerah mengundi Melabau di sini kelmarin.
Menurut Awang Aslee, walaupun berlaku rentas parti, UMNO bahagian itu masih wujud dan tidak ada cawangan yang dibubarkan.
“Ini melambangkan struktur UMNO khususnya di bahagian itu masih kukuh,” tambahnya.
Katanya terdapat lebih dari 224 cawangan-cawangan yang UMNO masih berfungsi seperti biasa dan bersiap sedia bagi menghadapi PRU-15 akan datang.
“Saya yakin ahli-ahli yang ada adalah mereka yang setia kepada perinsip perjuangan dan tidak ada sebab bagi kita melepaskan kawasan ini untuk diwakili oleh Umno pada PRU akan datang,” jelasnya.
Mengulas perjalanan mesyuarat cawangan-cawangan yang sedang berlangsung di bahagian itu, Awang Aslee berkata momentum dan sambutan ahli-ahli UMNO masih ditahap yang tinggi, malah kehadiran mereka ke mesyuarat cawangan-cawangan menggalakkan walaupun melalui SOP ketat yang ditetapkan.
“Saya yakin semangat dan kesetiaan mereka kepada parti masih kukuh malah ada ahli-ahli baharu yang berminat menyertai perjuangan UMNO,” katanya.

Pada majlis tersebut Awang Aslee turut menerima 49 ahli baharu UMNO dari daerah mengundi Takuli.
Hadir sama di majlis tersebut Timbalan Ketua UMNO yang juga Ketua wanita UMNO bahagian Beaufort, Datuk Hajjah Siti Aminah Hj Aching; Naib Ketua UMNO bahagian, Awang Damit Jion dan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Abdullah Satar.