PETALING JAYA, SELANGOR – Mahkamah Sesyen di sini melepaskan penyanyi dan komposer Muhammad Yasin Sulaiman, 48, atas tiga pertuduhan dadah pada Rabu.
Namun begitu, Hakim Faiz Dziyauddin mengarahkan penyanyi nasyid itu ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama mana tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor.
Pihak pembelaan menutup kes selepas satu-satunya saksi pembelaan iaitu Pakar Perunding Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak Dr. Ian Lloyd Anthony selesai memberi keterangannya dalam prosiding sebelum ini.
Dr. Ian Llyord mencadangkan agar Yasin menjalani rawatan secara berterusan akibat kecelaruan bipolar (bipolar disorder) yang dialaminya sejak 2009.
“Tertuduh mengalami gejala-gejala bipolar mania termasuk perubahan mood yang melampau, perasaan yang tidak realistik, paranoia dan sikap berhalusinasi untuk tempoh tertentu di antara 2009 dan tahun lalu.
“Yasin berada dalam keadaan tidak waras ketika kejadian seperti yang didakwa dalam pertuduhan,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Mengikut pertuduhan pertama yang baharu, Yasin didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara pada pukul 5.30 petang 24 Mac 2022.
Pertuduhan kedua, Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama yang mana pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan.
Pertuduhan ketiga Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.





