KUALA LUMPUR – Lima ahli baharu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong menerima surat cara pelantikan, semalam.
Memetik sumber Bernama, Pejabat Yang Di-Pertua Dewan Negara dalam satu kenyataan hari ini, berkata pelantikan atas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkuat kuasa bagi tempoh tiga tahun, mulai 9 Oktober lalu hingga 8 Oktober 2026.
Lima anggota baharu JKMR adalah Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar), Mohd Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar),
Lo Su Fui (GRS- Tawau) dan Young Syefura Othman (PH-Bentong).
“JKMR terdiri daripada tujuh orang ahli. Dua daripadanya masih dalam tempoh lantikan iaitu Ahli Dewan Negara, Ir Md Nasir Hashim dan Ahli Dewan Rakyat, Hassan Abdul Karim.
“Semua yang dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang mewakili parti kerajaan serta parti pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Majlis penyerahan surat cara pelantikan itu disempurnakan Anwar di Parlimen, semalam.
Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Datuk Azam Baki.
Kenyataan itu turut memberitahu, pelantikan berkenaan selaras dengan peruntukan Seksyen 14 Akta SPRM 2009 (Akta 694).
“Ahli JKMR berperanan menasihati Perdana Menteri mengenai pelbagai aspek masalah rasuah dalam negara dan memeriksa Laporan Tahunan SPRM.
“Selain itu, JKMR juga dikehendaki memeriksa ulasan oleh Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) mengenai perjalanan oleh suruhanjaya ini akan fungsi di bawah Akta SPRM 2009 dan mendapatkan penjelasan mengenai Laporan Tahunan SPRM serta ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR).
“Semoga dengan pelantikan ahli JKMR ini, dapat membantu memenuhi harapan masyarakat terhadap kebebasan, kecekapan, keberkesanan, ketelusan dan akauntabiliti suruhanjaya ini dalam penunaian fungsi-fungsinya,” katanya.





