WARSAW, POLAND – Seorang kanak-kanak lelaki Afghanistan berusia lima tahun meninggal dunia di sini akibat makan cendawan beracun sehari selepas setibanya keluarga mereka di Poland.
Menurut sumber yang dipetik AFP, abang kepada kanak-kanak berkenaan yang berusia enam tahun pula sedang nazak ketika ini akibat makan cendawan racun yang sama.
Kedua-dua adik beradik itu tiba di Poland bersama keluarga mereka pada 23 Ogos lalu selepas lari meninggalkan negara asal mereka Afghanistan sejak Taliban mengambil alih pucuk pimpinan di negara itu.
Mereka yang tiba di Poland menjalani kuarantin di fasiliti untuk migran di bandar Podkowa Lesna berhampiran Warsaw.
“Kematian otak disahkan hari ini… Kami mengesahkan kematian kanak-kanak itu,” kata doktor di Institut Kesihatan Memorial Kanak-Kanak Warsaw, Dr Jaroslaw Kierkus.
Berhubung abangnya yang menerima pemindahan hati awal minggu ini, Kierkus berkata, peluang untuk kanak-kanak itu selamat adalah tipis.
Terdahulu, Pejabat Hal Ehwal Rakyat Asing yang mengendalikan pusat migran di Poland, berkata lima individu memerlukan bantuan perubatan kerana sakit perut, namun pada awalnya mereka tidak memaklumkan ada memakan cendawan.
Dua kanak-kanak lelaki itu serta kakak mereka yang berusia 17 tahun, dibawa ke hospital pada 26 dan 27 Ogos.
Kakaknya kemudian dibenarkan keluar daripada hospital.
Pihak pendakwa raya kini menjalankan siasatan terhadap insiden terbabit.
Jurucakap Pejabat Hal Ehwal Rakyat Asing, Jakub Dudziak, menafikan laporan media yang mendakwa kanak-kanak itu makan cendawan berkenaan kerana tidak diberi makanan di pusat terbabit.